Photobucket

Wednesday, 17 October 2012

Permainan Tradisional


Permainan tradisional telah berupaya membentuk sebahagian daripada kehidupan yang dilalui oleh nenek moyang kita. Asas penting yang menjamin kesinambungan permainan tradisional pada masa lalu ialah keseragaman cara hidup nenek moyang kita. 



Kegiatan harian, bermusim dan tahunan daripada individu ke individu tidak banyak berbeza. Ini membolehkan mereka bekerja dan berhibur pada masa yang sama. Malah sejak dari kecil lagi mereka membiasakan diri dengan keadaan yang demikian. 



Apabila musim menuai padi berakhir dan musim tengkujuh tiba pesawah dan nelayan mengisinya dengan kerja-kerja sampingan. Kerja-kerja demikian boleh ditangguhkan dengan mudah. Tempoh peralihan antara musim inilah digunakan untuk mengadakan keramaian serta pesta.



Apabila sesuatu permainan diadakan di sesebuah kampung, penduduk kampung berdekatan turut berkunjung untuk mengambil bahagian atau sekadar memberi semangat. Suasana pesta di padang permainan boleh mewujudkan interaksi sosial di antara kampung-kampung yang mengambil bahagian. 



Oleh yang demikian permainan tradisional juga dikenali sebagai permainan rakyat. Ada di antara permainan ini yang sekarang tidak dimainkan lagi tetapi hanya diketahui oleh ibu bapa dan datuk nenek kita sahaja. Tetapi ada juga yang masih dimainkan lagi oleh kanak-kanak sehingga hari ini. Di antara permainan itu termasuklah guli, congkak, wau, selambut, sepak raga, gasing dan lain-lain.


Monday, 15 October 2012

Selamat Datang

Salam 1 Malaysia..

Selamat datang ke blog saya. Blog pengajaran dan pembelajaran ini dibangunkan khususnya untuk para pelajar berkaitan dengan tajuk Permainan Tradisional iaitu dalam tema Seni dan Budaya. Ianya adalah berdasarkan sukatan matapelajaran Bahasa Melayu Tahun 2 Kementerian Pelajaran Malaysia.

Saya memilih tajuk ini kerana anak-anak zaman sekarang kurang mengetahui tentang permainan tradisional memandangkan mereka lebih terdedah dengan permainan IT yang lebih canggih. Medium blog dipilih agar anak-anak lebih mudah mendapat ilmu seiring dengan zaman mereka. Saya juga mengalu-alukan perkongsian daripada rakan-rakan guru dan sesiapa sahaja yang mempunyai maklumat bermanfaat untuk dikongsi dalam blog saya.

Terima kasih.